PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan Kertas Putih, sebagai sebahagian langkah komprehensif Agenda Negara Menua, susulan negara ini akan mencapai status negara menua pada 2030, dan negara tua pada 2044.


Ringkasan AI
  • Kertas Putih dan Rangka Kerja Negara Menua: Kerajaan akan membentangkan Kertas Putih sebagai sebahagian daripada langkah komprehensif Agenda Negara Menua. Negara ini dijangka mencapai status negara menua pada 2030 dan negara tua pada 2044.
  • Perancangan Sosioekonomi dalam RMK-13: Rangka kerja tersebut akan menjadi asas untuk rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
  • Isu Negara Menua dan Perlindungan Sosial: Laporan OECD menunjukkan bahawa Malaysia mampu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2028. Namun, isu negara menua perlu ditangani segera.


Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, pihak Kementerian telah pun menyiapkan Rangka Kerja Negara Menua yang dilakukan dengan kerjasama Bank Dunia, dan bakal dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada November depan.

Katanya lagi, segala perancangan yang digariskan dalam rangka kerja tersebut akan dijadikan asas kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Rangka kerja akan bincangkan mendalam di peringkat kerajaan selepas dibentangkan di MTEN, insya-Allah rangka kerja menua itu akan dibentangkan. Kami bercadang untuk membawa Kertas Putih ke Parlimen, kerana keseluruhan perbincangan, kedudukan negara kita, unjuran negara menua ini perlu diketahui rakyat.

“Kita (akui) ada beberapa kelemahan daripada segi perlindungan sosial, terutamanya golongan pencen yang perlu diberi penekanan segera. Jadi ini akan bermula dengan Kertas Putih, dan cabaran itu akan ditangani dengan lengkap dalam RMK-13,” katanya lagi.

Rafizi berkata demikian kepada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kajian Ekonomi OECD Malaysia 2024, di Putrajaya pada Rabu.

Laporan OECD yang merupakan edisi keempat, telah mengunjurkan Malaysia mampu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2028, namun beberapa isu perlu ditangani segera, termasuk isu negara menua.

OECD berkata, ada keperluan untuk merapatkan jurang dalam penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat, yang jelas memerlukan perbelanjaan yang lebih besar.

Ketika ini kajian itu menyebut, peningkatan populasi masyarakat menua (ageing society) menambahkan lagi tekanan terhadap keperluan tersebut, kerana sebilangan besar kumpulan berkenaan tidak mampu menyediakan keperluan asas untuk mereka sendiri.

Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan, khusus bagi menyelaras garis panduan serta mengurangkan karenah birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Keputusan kerajaan ialah komitmen untuk memudah cara (antaranya) perniagaan. Jadi kita akan mengambil langkah melalui satu akta, dan akta ini akan memberi garis panduan atau parameter kepada kerajaan, mengenai komitmen kita untuk memudahcara karenah birokrasi.

“Ia lebih kurang selari dengan satu akta yang diperkenalkan tahun lepas, Akta Kebertanggungjawab Fiskal (FRA). Kalau FRA menetapkan contohnya garis sempadan dari segi fiskal, defisit berapa, hutang berapa, perbelanjaan sekurang-kurangnya tiga peratus sebagai contoh.

“Jadi sekarang ini dengan akta ini, ia membolehkan keseluruhan proses kerajaan itu kita selarikan supaya kita tidak terus menambah karenah birokrasi dari setahun ke setahun,” katanya lagi.