KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang memberi tumpuan kepada sistem yang lebih baik bagi memastikan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif secara penuh akan lebih berkesan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar tersebut adalah rumit, dan tanpa sistem yang baik, ia tidak akan boleh dicapai dan akhirnya akan gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu membantu mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata, kerajaan akan mengguna pakai segala pengalaman yang mereka peroleh susulan pelaksanaan projek rintis yang menyasarkan penglibatan 1,000 syarikat sejak Jun lepas.

“Kita kena bezakan projek rintis dengan pelaksanaan penuh. Tumpuan projek rintis bina sistem yang teguh. Jika kita lakukan ini, biarpun betapa rumitnya sistem tersebut, biarpun berapa ramai pemegang taruh, kita perlu satu sistem yang sangat bagus untuk elak penyalahgunaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Sesi Town Hall Dasar Gaji Progresif di ibu negara, pada Selasa.

Sewaktu membentangkan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif di Parlimen pada November 2023, Rafizi berkata, projek rintis tersebut menandakan kali pertama kerajaan campur tangan secara terus untuk meningkatkan gaji sektor swasta.

Ia membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999, yang merangkumi pekerja separa berkemahiran dan yang mempunyai pengalaman luas.

Rafizi berkata, data kementerian menunjukkan golongan pekerja tersebut mengalami ‘tekanan gaji’, berbanding dengan pekerja di peringkat bawahan yang disokong Dasar Gaji Minimum, manakala di peringkat atasan akan sentiasa mendapat pertumbuhan gaji yang lebih baik selaras dengan pengukuhan ekonomi.

Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan projek rintis sehingga akhir tahun, akan memberi ruang kepada Kementerian Ekonomi dan Kesuma untuk menilai perkara yang boleh ditambah baik apabila kerajaan mula menskalakan pelaksanaan tersebut dengan meluas.