Tinjauan Astro AWANI di beberapa lokasi untuk bertemu dengan peniaga restoran, pemilik tadika dan pekerja, mereka berpendapat pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan memberi manfaat dan impak positif kepada dua pihak.
Pemilik tadika Little Caliphs di Ampang, Mohd Shahrulnizam Abd Hamid menyifatkan pengumuman Anwar sebagai langkah tepat untuk membantu rakyat namun dia berharap pihak peniaga diberi masa secukupnya untuk melakukan penstrukturan semula melibatkan pengurusan syarikat.
"Para peniaga perlu diberi lebih masa untuk menyelaras, mungkin setahun sebelum pengumuman, untuk adjust kepada gaji minimum baharu dan struktur kos yang baharu. Macam kami di tadika, kami telah keluarkan harga yuran untuk 2025.
"Maka, kami tak boleh menyelaras lagi harga dan sebagainya, dan ia memberi tekanan kepada perniagaan. Jika diberi sikit masa mungkin setahun, insya-Allah para peniaga dengan senang hati boleh ikut kenaikan ini kerana ia memberi impak baik kepada para pekerja," katanya.
Bagi pemilik perniagaan Nasi Lemak & Kukus Warisan Omak, Ashliza Mahmud yang sudah 10 tahun menjalankan operasi, beliau melihat pengumuman itu satu perkembangan yang baik untuk para pekerja.
"Kalau saya tak ada masalah sebab gaji untuk pekerja restoran tinggi dari RM1,700 itu. Sini ada empat orang pekerja, saya bagi gaji hari lah. RM80, RM90, RM100 pun ada," katanya.
Pemilik Ateh Cafe, Asfarina Idayu Anas yang mengusahakan restoran sejak 26 tahun lalu, dia melihat kenaikan gaji minimum ini langkah yang wajar.
"Saya nampak benda ni bagus untuk pekerja sebab sekarang ini tarif kehidupan kita semakin naik. Dorang nak kena bayar rumah, semua perbelanjaan mereka kena bayar. Pendapat saya, happy staff, happy boss. Bagi saya tiada masalah kenaikan gaji RM1,700," kata pemilik Ateh Cafe, Asfarina Idayu Anas.
Bagi pekerja, Madiah Masud pula, dia teruja menanti tarikh 1 Februari depan dan menyifatkan pengumuman ini memberi makna kepada rakyat untuk menjalani hidup lebih selesa.
"Seperti yang kita tahu dengan kos sara hidup tinggi, harga barang meningkat, banyaklah. Kalau kita masih ikut takuk gaji yang lama, mereka tak mampu nak membeli, nak bayar sewa dengan peningkatan sewa yang semakin meningkat," katanya.