KUALA LUMPUR: Tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi hos bersama-sama Kuala Lumpur, bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ketiga-tiga negeri itu juga turut bersetuju untuk mengeluarkan kos dengan nilai keseluruhan penganjuran dianggarkan berjumlah RM700 juta.

"Anggaran ini berdasarkan kos sewaktu kita anjurkan Sukan SEA 2017. Malah kali ini juga kita terima peruntukan yang ia dibiayai kerajaan negeri, jadi kerajaan Persekutuan tak tanggung banyak jadi sebab itu kabinet bersetuju anjur Sukan SEA.

"Sarawak bersetuju untuk menampung dalam 50 peratus kos penganjuran iaitu melebihi RM300 juta, Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta," katanya kepada pemberita selepas sesi peka Tenaga Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.

Semalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Malaysia bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027.

Menurut KBS, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu Hannah memaklumkan pihaknya juga menerima tawaran sebagai penganjur bersama dari beberapa negeri lagi, namun terpaksa ditolak kerana mereka tidak bersetuju untuk menanggung kos bagi menganjurkan temasya sukan dwi tahunan itu.

"Kita telah hantar surat kepada pimpinan negeri menjemput untuk jadi hos bersama. Selepas peringatan diberikan hanya tiga negeri sahaja yang telah jawab bersama komitmen untuk menanggung kos.

"Ada negeri yang berminat tetapi mereka tidak bersedia beri peruntukan," katanya.

-- BERNAMA