Presidennya Datuk Awalan Abdul Aziz berkata peluang untuk boling padang dipertandingkan pada edisi 2027 dilihat cerah, selepas perbincangan komprehensif bersama pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini.
“Kita akan terus berbincang untuk mendapatkan sokongan negara lain, buat masa ini memang Filipina, Singapura, Brunei dan Thailand akan masuk.
“Boleh dikatakan setiap kali boling padang dipertandingkan, Malaysia pamer prestasi baik untuk menjuarai sukan ini. Bagaimanapun kita tidak boleh memandang ringan pasukan negara lain,” katanya kepada Bernama.
Selepas sukan itu tidak pertandingkan pada edisi 2021 Vietnam dan 2023 Kemboja, tuan rumah Sukan SEA seterusnya, Thailand turut membuat keputusan untuk tidak menganjurkan boling padang ketika Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan di Bangkok pada 25 Okt.
Pada edisi 2019, Malaysia muncul juara dengan meraih empat emas dan dua gangsa daripada enam pingat emas yang ditawarkan, manakala pada edisi 2017 Kuala Lumpur, kem negara cemerlang untuk merangkul tujuh emas dan satu perak daripada lapan acara yang dipertandingkan.
Sementara itu Awalan berkata PLBM akan menghantar cadangan nama atlet untuk diserapkan ke dalam Program Podium kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persedian untuk menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.
Beliau berkata senarai panjang 10 atlet lelaki dan 10 atlet wanita, ketua jurulatih serta masing-masing seorang jurulatih lelaki dan wanita akan diserahkan ketika mesyuarat jawatankuasa kerja, bulan depan.
“Kriteria dan syarat untuk Program Podium harus dilihat kembali (bukan hanya berdasarkan temasya). Kita mempunyai atlet yang muncul juara dunia, menduduki ranking kedua dunia bagi lelaki dan wanita, sebagai pasukan di kedudukan kelima dunia dan nombor satu Asia, selain sentiasa menduduki podium di peringkat antarabangsa.
“Namun, untuk teruskan momentum ini bukan mudah dan kita perlukan sistem sokongan seperti sains sukan, analisis, psikologi dan latihan. Pasukan lain di Asia seperti Hong Kong, Singapura dan Filipina mempunyai support system yang lebih kuat, dan pencapaian mereka pun dah mula meningkat,” katanya.
-- BERNAMA