JOHOR Darul Ta'zim (JDT) melakar rekod tersendiri apabila kini berada di kedudukan kelapan pasukan terbaik di Asia berdasarkan kemas kini data oleh laman statistik Opta Analyst pada Rabu.

Skuad Harimau Selatan itu memungut 77.8 mata dan menyaksikan peningkatan lapan anak tangga dari kedudukan ke-16 pada kemas kini sebelum ini.

Perkara itu dikongsikan di laman Facebook Johor Southern Tigers yang turut memaklumkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu kekal menerajui ranking pertama bagi pasukan di Asia Tenggara.

"Kelab JDT kini berada di ranking ke-279 dunia, kelapan di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan data yang dikeluarkan laman Opta Power Ranking pada 28 Ogos 2024.

"Laman analisis bola sepak ini menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia. Tidak ada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai top 1,000 seluruh dunia," katanya.



JDT masih segar dengan kemenangan menakjubkan apabila membelasah Selangor FC 6-1 dalam aksi final Piala FA baru-baru ini sekali gus mengukuhkan kredibiliti mereka sebagai pasukan terbaik negara.

Dalam pada itu, Selangor FC berada di kedudukan ke-1,256 dunia, ke-122 di Asia selepas menghimpun 68.2 mata manakala Terengganu FC berada di kedudukan ke-1,734 dunia dan ke-189 di Asia dengan 65.5 mata. -- Sinar Harian