ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-1 setelah menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 4-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini, hari ini.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu mencatat gol pembukaan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi selepas Nabil Hakim Bokhari menjatuhkannya.

Skuad Harimau Selatan menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama selepas penyerang Bergson da Silva tangkas menyambar hantaran Oscar Arribas dari sebelah kanan padang sebelum menjaringkan gol bagi kedudukan 2-0.

Babak kedua pula menyaksikan KL City FC sekali lagi dihukum penalti selepas S. Sharvin menjatuhkan Arribas di dalam kotak penalti dan gol ketiga JDT itu disempurnakan oleh Bergson pada minit ke-56.

Harimau Selatan terus menambah derita pasukan Miroslav Kuljanac apabila rembatan luar kotak Juan Muniz Gallego merobek gawang pada minit ke-62.



SUKAN-PIALA MALAYSIA (RANGKUMAN) 2 ISKANDAR PUTERI



Penyerang KL City FC, Suhaimi Abu, yang tidak dikawal hampir mencatat jaringan pada minit ke-82, namun tandukannya di dalam kotak penalti tersasar dari gawang.

Percubaan dalam kotak penalti oleh Heberty Fernandes De Andrade tujuh minit kemudian turut tersasar daripada gawang untuk menjaringkan gol kelima buat JDT.

Keputusan kekal 4-0 sehingga tiupan wisel penamat.