Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman diumumkan sebagai calon PN di kerusi Parlimen Bachok, menggantikan Nik Mohamad Abduh yang menyandang kerusi itu.
Sementara itu, seorang lagi yang digugurkan, bekas Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan digantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Datuk Mumtaz Md Nawi.
PN Kelantan turut mengumumkan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dipertaruhkan di kerusi Parlimen Machang manakala Zahari Kechik di Parlimen Jeli.
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dikekalkan di kerusi Tanah Merah yang dimenanginya pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN).
Pengumuman calon PN itu dibuat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, malam ini.
Dalam pada itu, pengumuman calon PN di Kelantan juga menutup desas desus gabungan itu akan memberi laluan kepada Tan Sri Annuar Musa di kerusi Parlimen Ketereh, apabila namanya tidak diumumkan malam ini.
Sebaliknya, PN menamakan Mejar Jeneral Datuk Khlir Mohd Nor sebagai calon di Kerusi Parlimen tersebut.
Pada Selasa malam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, seolah-olah memberi bayangan PN mungkin menawarkan Annuar bertanding di kerusi berkenaan atas tiket PN.
Takiyuddin dilapor berkata, akan ada kejutan pada pengumuman calon PN Kelantan.