Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa, gabungan itu tidak ikhlas menerima antara satu sama lain termasuk di Sabah.
“Gabungan ini bukan gabungan yang ikhlas, termasuk di Sabah.
“GRS bukan Gabungan Rakyat Sabah, (tetapi) gabungan nafsu pemimpin-pemimpin ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakyat di Kampung Panji, di sini pada petang ini.
[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kerusi yang menyaksikan pertembungan antara calon BN dan GRS.
Ia termasuk kerusi Parlimen Beluran, selepas penyandangnya, Datuk Seri Ronald Kiandee nekad bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas tidak tercalon.
BN sebelum ini memutuskan kerusi Parlimen Beluran diwakili oleh calon mereka iaitu Benedict Asmat.
Kehadiran Ronald menyaksikan pertandingan lima penjuru di Parlimen Beluran melibatkan calon Warisan, Rowiena Rashid; Benedict (BN); Felix Joseph Saang (Pakatan Harapan) dan Hausing Samsudin daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Parlimen Ranau turut menyaksikan pertembungan antara dua gabungan itu apabila Datuk Ewon Ebin bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), salah satu parti komponen dalam BN.
Ewon akan menentang penyandang kerusi Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang mewakili GRS-BN.
Mohd Shafie, yang juga calon di kerusi Parlimen Semporna menambah, perkara sama ditunjukkan ketika kerjasama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ujarnya, apa yang berlaku adalah akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin ditumbangkan.
“Contohnya bila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mementingkan... kononnya landasan yang didendangkan ialah suara-suara kepentingan rakyat, dan kepentingan negara.
“Katanya - kita perlu bergabung untuk memerintah Malaysia dan (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri.
“Dia bergabung dengan UMNO, bergabung dengan Pas, dan selepas itu UMNO pula tumbangkan dia, tukar kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Selepas itu (UMNO) desak pula Ismail Sabri... Ismail Sabri pula 'ditumbangkan',” kata Mohd Shafie.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu berpuas hati dengan proses penamaan melibatkan calon Warisan di seluruh negara.
“Saya yakin mudah-mudahan sampai ke 19 November, ia dapat berjalan dengan lancar tanpa keadaan yang membimbangkan kita,” katanya.