Menurut Noh, sebagai ahli yang setia, beliau tidak akan sesekali melawan parti yang banyak berjasa kepadanya.
"Saya orang parti, tak kan lah parti yang banyak berjasa kepada saya ini saya nak lawan. Saya cuma bimbang reaksi rakyat sahaja.
"Ini kawasan luar bandar, isunya lain... jadi itu yang saya bimbangkan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran jentera pilihan raya Tanjung Karang, di sini, hari ini.
Mengulas penggugurannya sebagai calon, Noh mengakui, beliau terguris hati, kecewa dan sedih dengan keputusan tersebut.
Noh turut mendakwa, beliau tidak dimaklum mengenai penggugurannya dan menganggap diperlakukan seperti kain buruk.
"Saya ini Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan saya juga Ketua Bahagian UMNO Selangor, apa salahnya bincang dengan saya?
"Ini melibatkan Tanjung Karang, saya yang tahu lebih mendalam (mengenai) Tanjung Karang... boleh menang ke tak boleh menang dan sebagainya.
"Orang kata, masuk rumah saya bincang lah dulu, saya tidak ada masalah. Kalau kata saya sudah lama tidak ada masalah. Di Selangor saya boleh bertahan enam penggal, syukur Alhamdulillah.
"Cara saya diketepikan yang saya rasa terguris hati, itu yang buat saya sedih dan kecewa, Saya dikuis dan diketepikan macam kain buruk, macam sampah," luah beliau lagi.
Noh menjelaskan, biarpun tidak lagi dicalonkan, namun, beliau tetap akan hadir di hari penamaan calon dan akan membantu BN mencapai kemenangan.
BN menamakan Datuk Habibah Mohd Yusof sebagai calon di kerusi Parlimen Tanjung Karang bagi menggantikan Noh yang memenangi kerusi tersebut selama enam penggal.
Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Zulkafperi Hanapi sebagai calon di Tanjung Karang manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Siti Rahaya Baharin dari Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai calon.