Sebaliknya, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz secara sukarela menarik diri dari dicalonkan.
"Dia (Nik Abduh) telah menarik diri untuk bertanding dan memberi laluan kepada calon muda. Dia akan bersama- sama turun berkempen bersama kita. Ia tidak timbul isu itu (dibuang dari parti)," katanya pada Majlis Pengumuman Senarai Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen di Negeri Kelantan bagi PRU15.
"Bahkan calon menggantikanya Syahir adalah rakan rapatnya jadi orang tempatan dan dia Setiausaha Politik kepada Presiden parti (Pas), kita perlukan pemuda dan wanita macam di Tumpat kita letakkan kak Tah (Mumtaz) untuk dokong dasar parti, kita buktikan," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung tiada seorang pun anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertanding kali ini atas tiket Pas.
Tuan Ibrahim menjelaskan ia tiada kaitan dengan pengakhiran legasi Nik Abdul Aziz kerana bagi Pas, setiap calon bertanding membawa dasar Islam dan perjuangan membangun bersama Islam seperti yang ditinggalkan Nik Abdul Aziz.
"Tak timbul soal itu (mematikan legasi tok guru) saya sendiri anak saudara tok guru (Nik Abdul Aziz), Zawawi (calon Pasir Puteh) pun anak saudara tok guru, legasi perjuangan bukan individu tetapi dasar perjuangan.
"Siapa bawa dasar perjuangan dia bawa legasi tok guru, bukan tokoh atau individu," katanya
Terdahulu, Pas meletakkan calon mereka di Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), Parlimen Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari), Parlimen Rantau Panjang (Datuk Zailah Mohd Yusuff), Pengkalan Chepa (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) dan Tumpat (Datuk Mumtaz Md Nawi).
Selain itu, Parlimen Bachok (Muhamad Syahir Che Sulaiman), Parlimen Kuala Krai (Abdul Latif Abdul Rahman) Pasir Puteh (Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh).
Manakala calon dari Bersatu, Zahari Kechik (Jeli), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Khlir Mohd Nor (Ketereh) Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Dari senarai nama calon itu, PN Kelantan menampilkan enam muka baharu bertanding di kerusi Parlimen kali ini.