Penganalisis Politik, Prof. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kekukuhan dan keupayaaan manifesto serta sejauh mana ia akan diperjuangkan, adalah aspek yang bakal menentukan sejauh mana seseorang calon itu berjaya meyakinkan pengundi.
Mengambil contoh penyandang kerusi Rembau yang bakal bertanding Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, Ahmad Marthada menegaskan pengalamannya sebagai pemimpin merupakan satu kelebihan, namun ia bukan segala-galanya.
"Khairy mempunyai kebolehan yang sudah terbukti dari segi pengalaman dalam kerajaan, mentadbir beberapa kementerian. Itu memberi kelebihan kerana nama beliau telah sinonim dengan kebolehannya.
"Tetapi bagi mereka yang tidak ada pengalaman, cabaran bagi mereka adalah untuk dapatkan sokongan. Tetapi walaupun sudah ada nama dan prestasi tetapi calon kena bawa manifesto yang boleh menyelesaikan masalah pengundi di kawasan tersebut.
"Kalau di bandar, isu berkaitan bandar perlu dibawa dan jadi menifesto kerana pengundi pasti mengharapkan penyelesaian konkrit," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih, pada Khamis.
Jelasnya, biarpun calon atau muka baharu mempunyai kelebihan dari segi mereka tidak terpalit sebarang isu negatif, namun pemasaran politik sangat penting bagi membentuk jenama mereka di mata masyarakat.
"Sudah tentu penggunaan media sosial untuk calon yang belum dikenali penting bagi mereka kemukakan pandangan dan manifesto. Kalau mereka pandai guna medium komunikasi dalam mendekati pengundi muda, ia satu kelebihan.
"Tetapi untuk pengundi Saluran 3 atau 4, mereka kena cari kaedah lain yang boleh digunakan untuk bawa diri mereka, aspek political marketing harus diutamakan, bagaimana nak pasarkan diri mereka sebagai calon terbaik kerana mereka tak ada nama untuk jadi favourite," ujarnya.
Tambahnya lagi, calon harus bijak dalam memilih isu dan manifesto yang ingin dibawa kerana pengundi kini sudah semakin bijak membuat penilaian, dan manifesto bersifat retorik semata-mata pastinya akan ditolak.