Ringkasan AI
- Kelemahan dalam Laporan: Khairy memaklumkan terdapat kelemahan dalam LKAN yang menyebabkan beberapa penemuan tidak tepat. Ini termasuk julat masa audit yang disiasat dan metodologi yang digunakan.
- Fokus pada Masalah Spesifik: LKAN terlalu memberi fokus kepada masalah spesifik tanpa melihat gambaran yang lebih besar.
- Laporan Berjela-jela: Terdapat laporan LKAN yang ditulis berjela-jela, dan kadang-kadang penemuan dan cadangan sudah tidak relevan kerana telah diperbetulkan.
Beliau yang pernah menerajui tiga kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, antara kelemahan tersebut melibatkan julat masa audit yang disiasat dan metodologi yang diguna pakai.
"Saya hormat dan faham kerja Jabatan Audit Negara tetapi ada beberapa perkara yang saya nak cakaplah tentang kelemahan audit ini. Sebab kita jangan dalam keadaan kita kata semua yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara itu tidak boleh dipersoalkan dari segi metodologi.
"Antara masalahnya adalah julat masa yang disiasat itu berlaku lebih awal lagi.
"Kadang-kadang kesalahan atau kelemahan dalam metodologi yang digunakan, ia membawa kepada penemuan outdated ataupun tidak tepat dan sudah dibetulkan," katanya dalam program podcast Keluar Sekejap (KS) yang turut menampilkan bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang pernah menguruskan acara-acara besar seperti Sukan SEA 2017 dan pengagihan vaksin semasa menjadi menteri menambah, LKAN terlalu memberi fokus kepada masalah spesifik tanpa melihat gambaran yang lebih besar.
Khairy berkata terdapat juga laporan LKAN yang ditulis berjela-jela sehingga memberi persepsi seolah-olah sesuatu sumber itu dibazirkan.
"Kadang-kadang terdapat kelewatan dalam pembentangan LKAN, penemuan dan cadangan itu mungkin tidak lagi relevan kerana benda itu (teguran) sudah diambil kira (dan diperbetulkan)," jelasnya lagi.
Khairy berkata demikian susulan pendedahan LKAN Siri 2/2024 baru-baru ini melibatkan beberapa organisasi seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Majlis Profesor Negara (MPN) sehingga membawa kepada siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Laporan tersebut antaranya mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.
HRD Corp sebelum ini dilaporkan mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023.