KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja yang akan diletakkan di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Madius, yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, ia termasuk pertembungan dengan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili yang dikhabarkan mungkin berpindah kerusi pilihan raya kali ini.

"Tuaran ini bukan sahaja kerusi Yang Amat Berhormat Ketua Menteri tetapi juga Menteri Kewangan (Datuk Seri Hajiji Noor), kemudian Menteri Luar Bandar (Datuk Jahid Noordin Jahim) juga di situ, Timbalan Menteri Kewangan di situ juga, dan Timbalan Menteri Pelancongan (Datuk Joniston Lumai @ Bangkuai) di situ juga.


"Kalau sahabat kita Presiden PBS (Maximus) mahu datang, sebagai satu sistem demokrasi dan kita bersedia menghadapi sesiapa sahaja pencabar," katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan lima calon UPKO pada PRU15, di sini pada Isnin.

Media melaporkan, Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) mungkin bertanding di kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyerahkan kerusi yang disandangnya di Parlimen Kota Marudu kepada muka baharu.

Mengulas lanjut, Madius yang mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran sejak penggal empat lalu berkata, tawaran yang mahu diberikan oleh UPKO sebagai salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) adalah penubuhan sebuah kerajaan Persekutuan yang lebih berwibawa.

Katanya lagi, agenda dibawa oleh PH adalah memastikan hak rakyat adalah sama rata tanpa membezakan kaum mahupun agama.

"Kalau sebelum ini sebagai contoh, walaupun saya ahli Parlimen Tuaran, saya tidak dibenarkan membuat layanan di kawasan-kawasan tertentu di Tuaran. Itu selama saya berkhdimat sebagai ahli Parlimen (mewakili) Barisan Nasional (BN).

"Ini satu perkara yang penting dan pada kali ini kita bebas dan mahu melayani semua rakyat," ujarnya.

Selain itu, Madius menambah jika diberi mandat menerajui kepimpinan di peringkat pusat, PH juga mahu menghapuskan penyelewengan dan rasuah, yang didakwa turut menyebabkan Sabah menerima tempias.

"Hal yang dibincangkan ialah kekhuatiran rakyat Sabah tentang pendatang asing, kebanjiran warga asing dan itu telah berlaku disebabkan rasuah (dalam) penguatkuasaan undang-undang.

"Begitu juga hal-hal semasa di Tuaran iaitu masalah bekalan air. Di Tuaran ini berlaku catuan air sehingga satu-satu kampung itu berdepan ketiadaan air sehingga seminggu, dan jangan main-main dengan masalah air ini," tambahnya.