Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, parti itu akur diberikan lima kerusi selepas melalui proses perbincangan yang panjang dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Pada PRU15 ini, Madius turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran, yang disandangnya sejak empat penggal.
"Ini soal puas hati memang tidak ada yang puas hati... parti-parti komponen dalam PH tidak ada yang puas hati termasuk UPKO.
"Kita meminta beberapa kerusi dan sebenarnya dalam UPKO sangat-sangat praktikal dengan kerusi yang kita pertandingkan.
"Kita bertanding untuk menang bukan bertanding untuk berapa ramai. Kita akur setelah dibuat keputusan kita akan bergerak sebagai satu pasukan di dalam PH untuk memastikan semua calon dalam PH menang dalam pilihan raya," katanya dalam sidang media pengumuman calon di Ibu Pejabat UPKO, di sini, pada Isnin.
Selain Madius, turut dipertaruhkan ialah Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick di kerusi Parlimen Penampang.
Ewon dijangka berdepan saingan sengit bagi merebut kerusi Parlimen Penampang yang kini disandang oleh Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking.
Mengulas mengenai cabaran tersebut, Ewon berkata, beliau yakin dengan sokongan yang diberikan oleh pengundi Penampang terhadap PH dan calon Perdana Menteri gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tetapi saya akui cabaran itu agak besar dan satu pasukan di Penampang sedang mengerakkan jentera dan kempen sehingga hari pengundian nanti," ujarnya.
Tiga lagi calon UPKO ialah Timbalan Setiausaha Agung UPKO, Peter Jr Naintin (Libaran); Setiausaha Wanita UPKO, Rowindy Lawrence (Kimanis) serta Ketua Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang (Beluran).
Pada PRU14, Madius satu-satunya wakil UPKO yang memenangi kerusi Parlimen atas tiket Barisan Nasional (BN).
Beliau kemudian bertindak membawa UPKO keluar daripada BN untuk menyokong dan bersama-sama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi membentuk kerajaan baharu Sabah ketika itu.
Pada PRU15, PKR dijangka bertanding 11 kerusi Parlimen di Sabah, DAP (tujuh kerusi), manakala Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat satu kerusi.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang menjalin kerjasama dengan PH pula, dijangka mendapat satu kerusi di Sabah.
Senarai calon dan kerusi yang ditandingi semua lima parti komponen PH itu dijangka diketahui sepenuhnya pada pengumuman calon PH Sabah oleh Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putatan dan Tuaran, pada petang dan malam ini.