Berdasarkan kepada 24 nama diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini, dua nama besar antara yang tidak berada dalam senarai.
Penyandang Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dicalonkan semula dan tempatnya digantikan pemimpin muda, Datuk Khairul Azwan Harun yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Salak.
Seorang lagi yang digugurkan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Abd Yazid yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Kerusi tersebut bakal ditandingi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, Datuk Maslin Sham Razman yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan khabar angin berlegar hari ini menyatakan dua nama tersebut antara yang digugurkan.
PRU15: Senarai calon BN diumum Zahid Hamidi
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Dalam pada itu, kejutan berlaku di kerusi Parlimen Larut dan Gerik apabila penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki masing-masing diumumkan sebagai calon di kawasan tersebut.
Dua pemimpin tertinggi MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Datuk Seri M Saravanan juga tersenarai sebagai calon dengan Vigneswaran di kerusi Parlimen Sungai Siput manakala Saravanan mempertahankan kerusi Parlimen Tapah.
Parlimen Padang Rengas pula menyaksikan calon muda dan baharu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Arrif Abdul Majid diumumkan bertanding di kawasan itu, menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beberapa nama juga kekal, antaranya Presiden UMNO, Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Selain itu, Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Lenggong selain Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Parit.
Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula sekali lagi diletakkan sebagai calon di Parlimen Lumut, bakal menentang 'lawan' lamanya, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).