SRI KEMBANGAN: Syarikat tenusu nombor satu tempatan, Farm Fresh, kembali dengan video iklan Raya terbaharu bertajuk “Bawa Balik Yang ‘Itu’”.

Video ini mengisahkan seorang anak muda yang berusaha memenuhi permintaan ibunya untuk menyempurnakan Hari Raya mereka.

Sarat dengan unsur kejutan dan mesej kekeluargaan, Bawa Balik Yang 'Itu' mengajak penonton menghargai kebersamaan bersama orang tersayang.

Berbanding dengan tahun lepas, video tahun ini menggabungkan elemen klasik kumpulan marhaban dalam bentuk muzikal, menjadikan iklan ini lebih unik dan berbeza.

“Kita tiap-tiap kali bagi orang orang bujang ataupun orang dah kahwin bila kita balik raya kita akan jumpa saudara mara, soalan dia sama stereotaip.

“Salah satu soalan yang paling selalu ditanya ialah bila nak kahwin?

“Jadi ini bila nak kahwin punya ceritalah ini dan bahagian yang paling best ialah elemen marhaban, itu saya masukkan dalam video raya sebab marhaban dengan raya memang sentiasa ada, tidak kiralah kita dari Kelantan ke kita daripada Johor ke kita Perak ke, sentiasa ada di waktu hari raya, lepas raya orang akan berkunjung daripada rumah ke rumah dengan marhaban.

“Jadi semua elemen ni kita masukkan dan dapatlah terhasil satu video pada hari ini,” kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal.



Tambah Azmi lagi, Farm Fresh bukan sahaja menghasilkan susu yang berkualiti, tetapi juga ingin menyampaikan kepentingan nilai kejujuran, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan.

“Raya adalah masa untuk mengeratkan hubungan dan berkongsi detik-detik bermakna.

“Menerusi video ini, kami ingin mengajak rakyat Malaysia untuk menghargai perkara yang benar-benar penting dalam hidup - kebersamaan dan keluarga,” katanya lagi.

Selain video raya, Farm Fresh turut memperkenalkan produk baharu mereka, Farm Fresh Choco Malt, serta Farm Fresh Susu Kurma yang menjadi pilihan sepanjang bulan puasa.

Orang ramai boleh menonton video penuh “Bawa Balik yang ‘Itu’” di laman rasmi Facebook, YouTube, Instagram, dan TikTok Farm Fresh bermula Rabu, 19 Mac.

Dengan sentuhan muzik marhaban dan mesej kekeluargaan, video ini pastinya menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.