Selain peruntukan RM35 juta untuk program orang muda, ia turut menawarkan bantuan ‘one-off’ RM500 dan RM1,000 kepada mahasiswa Perak yang sedang mengikuti program diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sebagai salah satu usaha untuk menarik sokongan golongan tersebut kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Pengundi-pengundi muda yang umur 18, dia pun akan tertanya-tanya, apakah dia dapat, kalau dia mengundi Barisan Nasional, apa dia dapat.
"Tentulah dia akan tanya sebab dia dah undi, dia boleh mengundi. Jadi saya kena menjawab soalan itu. Dengan menawarkan, ini bukan janji kosong, saya sebutkan dan saya dah buat kajian," katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan Manifesto BN Perak di Taman Meru Permai, Ipoh, pada Selasa malam.
Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 1.1 juta penduduk Perak yang berumur antara 15 hingga 40 tahun, lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 2.6 juta.
Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan, terdapat sekurang-kurangnya 124,000 orang muda di Perak telah berhijrah keluar sejak 10 tahun lalu, menyebabkan negeri kehilangan banyak bakat.
Oleh itu, ujarnya, jika tiada usaha dibuat, sudah tentu lebih ramai belia akan berhijrah keluar dan Perak akan menjadi negeri masyarakat tua.