Pengerusi PH Johor Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau juga yakin parti-parti politik lain turut mengamalkan politik yang matang memandangkan ini bukan kali pertama pilihan raya diadakan dalam negara.
"Saya akan pastikan jentera PH di Parlimen Pulai khususnya akan menghormati setiap undang-undang dan peraturan, dan suka saya ingatkan sekiranya ada perbuatan khianat, itu bukan datang dari PH," katanya pada kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat dan ramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Pasar Malam Bukit Indah, di sini pada Rabu.
Timbalan Presiden Amanah itu berkata demikian ketika mengulas isu kerosakan bendera parti-parti yang bertanding PRU15 yang dilaporkan berlaku di Johor sejak kempen bermula Sabtu lepas.
Salahuddin yang merupakan penyandang Parlimen Pulai itu berhadapan dalam saingan tiga penjuru yang melibatkan pertembungan antara beliau, calon Barisan Nasional Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-UMNO), dan calon Perikatan Nasional Loh Kah Yong (PN-Gerakan).
Pada PRU14, Salahuddin menewaskan Nur Jazlan iaitu bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 28,924 undi.
-- BERNAMA