Sebahagian mereka mengakui berdepan dengan kekangan kewangan disebabkan banyak faktor yang mempengaruhinya.
Ia bersangkut-paut dengan isu kebajikan yang seharusnya diberikan kepada golongan itu tidak diperjuang sepenuhnya oleh badan atau organisasi sukan yang menjadi tempat untuk mereka berpayung.
Luahan sedemikian adalah antara kebimbangan yang dilontarkan segelintir atlet lebih-lebih lagi apabila merenung untung nasib mereka di kemudian hari.
Walaupun golongan atlet sudah ada badan tertentu yang akan menguruskan mereka, namun pemilihan pemimpin yang akan berubah setiap kali berlakunya pilihan raya sebenarnya akan turut mempengaruhi dasar.
Bagi Arif Ridzuan Ab Nasir, 27, menjadi atlet Paralimpik yang pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa adalah suatu pencapaian yang cukup membanggakan.
Namun isu kebajikan yang disebutkan itu juga menjadi perkara kritikal, apatah lagi seandainya tidak mampu menempatkan diri sebaris dengan bintang tersohor, yang mendapat pelbagai insentif dan jaminan masa depan.
Dia yang mewakili negara pada temasya Sukan SEA Paralimpik Julai lalu dalam acara bola tampar duduk berharap pembangunan sukan dan kebajikan membabitkan atlet Paralimpik sepertinya mampu dinaik taraf seperti atlet yang normal.
"Saya harap akan ada perubahan yang baik dapat diberikan oleh pemimpin dalam pembangunan sukan Paralimpik. Sekarang ini realiti yang dihadapi adalah berbeza, kerana tumpuan tidak sangat diberikan seperti atlet lain.
"Banyak usaha yang terpaksa dilakukan sendiri membabitkan latihan dan sebagainya. Kalau boleh, harap perkara itu mampu diperbaiki pada masa depan," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat.
Arif Ridzuan pernah terlibat dalam satu kemalangan pada tahun 2015. Motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta sebelum dia digilis lori, menyebabkan buku lali kaki kirinya hancur.
Insiden itu sekali gus menyebabkan dia tidak lagi mampu berjalan seperti sebelumnya.
Bagaimanapun, azam anak muda ini yang tidak pernah padam untuk terus menyumbang untuk mengharumkan nama negeri dan negara, cukup dikagumi.
Jelasnya, di Negeri Sembilan sahaja terdapat lebih 77 atlet Paralimpik yang kini dalam persiapan bagi menghadapi cabaran saingan Paralimpik Sukma yang akan bermula 2 November depan.
Namun, atlet yang bekerja sebagai pereka grafik dan penyunting visual itu tidak lupa akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai warganegara untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.