KOTA BHARU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menasihati semua penyokong parti politik agar menghormati proses demokrasi dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, para penyokong parti politik perlu menanam sifat toleransi dan kerjasama yang jitu antara satu sama lain bagi menjamin keharmonian sepanjang tempoh PRU15.

"PRU15 adalah proses untuk kita memilih pemimpin dan kita sebagai penyokong tidak perlu bermusuh atau dengan sengaja mewujudkan kekecohan atau provokasi.

"Malah pemimpin-pemimpin juga akan menjaga ukhwah dan keharmonian kerana selepas habis PRU15 ini, kita akan berkawan seperti biasa," katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian selepas beramah mesra dengan pemenang pingat emas Para Sukma 2022 Kuala Lumpur bagi acara catur berpasukan kategori (PI) Norazlin Juarih dan Faris Iqbal Ahmad dekat Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas video tular di media sosial yang memaparkan insiden provokasi dan perang mulut antara dua penyokong parti politik dalam program ceramah di Sungai Dulang, Bagan Datuk pada Ahad lepas.
- BERNAMA