KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk membentuk kerajaan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu diambil bagi memperkukuh dan menstabilkan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Jelas beliau, pembentukan gabungan itu bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang berasaskan beberapa kepentingan.

LIHAT KEPUTUSAN PRU15 DI SINI



Ia termasuk prinsip menegakkan keluhuran Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.

Selain itu, beliau berkata, ia berasaskan prinsip menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.

Ia juga berlandaskan prinsip autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan, serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.


[BERITA LANJUT MENYUSUL]