KUALA LUMPUR : Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap agar kuota menteri penuh di peringkat Persekutuan daripada parti itu digandakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Lingi berkata, parti itu berharap kuota berkenaan ditambah sebanyak enam hingga tujuh menteri selepas PRU kelak.

"Seperti rakyat di Semenanjung, Sarawak juga mengimpikan nikmat kemajuan, dengan kemudahan asas seperti capaian telekomunikasi, perkhidmatan jalur lebar, akses jalan, elektrik, air dan pengangkutan awam khususnya di pedalaman yang menjadi keperluan asas.

"Sudah terang lagi bersuluh, jurang perbezaan Semenanjung-Sarawak perlu dirungkai sebaiknya.

"Laluan berliku tidak akan menjadi kekangan dalam memburu tekad sedemikian, andainya setiap butiran dasar pembangunan Kerajaan Persekutuan yang diperhalusi di peringkat Kabinet menitikberatkan kepentingan Sarawak," katanya dalam perkongsian di Facebooknya pada Selasa.

BACA SEMUA MENGENAI PRU15 DI SINI

Justeru ujar beliau, keanggotaan negeri itu dalam Jemaah Menteri adalah amat penting supaya setiap percaturan mengenai pembangunan negara khususnya di Sabah dan Sarawak tidak disisihkan

Tambah beliau, PRU15 kali ini penting dalam menjadi medan penentuan buat negeri itu untuk menjamin pembangunan yang saksama dengan negeri-negeri lain di Malaysia, sekali gus menyahut dasar kemakmuran bersama (WKB) 2030 kerajaan.

"Berbekalkan suara empat menteri (dari Sarawak) dalam Kabinet sebelum ini menerusi Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; termasuk saya sendiri, misi ini digalas secermatnya," jelas beliau.

Beliau berkata demikian selepas menyelesaikan sesi jelajah 'Ngabas Kapit' di Rumah Sylvester Panau, Song pada Selasa.

Dalam jelajah itu katanya, beliau berpeluang untuk mendengar pandangan 'tuai rumah' atau ketua kampung rumah panjang yang menyampai harapan untuk melihat pembangunan dambaan mereka direalisasikan selaras dengan hala tuju Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.