Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbiran PH dapat menghentikan perbuatan kontrak tanpa tender dan kecurian wang yang sepatutnya digunakan bagi membantu rakyat susah ketika ini.
Menurutnya, apa yang lebih penting usaha berterusan pembasmian rasuah dapat dilaksanakan dalam menyelamatkan ekonomi negara.
"Bukanlah saya pandai benar, tapi lapan tahun saya jadi menteri kewangan ringgit kukuh.
"Belanjawan bukan defisit, belanjawan ada lebihan, dan belanjawan seimbang," katanya ketika berucap pada program Santai Bersama Anak Muda di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
Hadir sama calon PH Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Jelas beliau, sekiranya PH diberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir negara sudah pasti pasukannya dapat menyelamatkan kewangan kerajaan berjumlah berbilion-bilion ringgit dengan pengurusan yang lebih telus.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian