Mengakui bukan mudah untuk mempertahankan kawasan itu memandangkan beliau merupakan calon luar, Adam, 33, yakin kehadirannya dapat diterima oleh akar umbi cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Katanya, beliau sedar kehadirannya sebagai calon muka baharu dan calon luar menimbulkan keresahan sesetengah pihak, lebih-lebih lagi kerusi berkenaan merupakan kerusi yang berjaya dirampas parti sejak tahun 2013 lalu.
“Kita akui dalam media sosial memang ada sedikit sebanyak keresahan, tetapi semua perkara ini dibincangkan oleh pihak dalaman parti (termasuk) siapa nak jadi calon dan sebagainya.
“Malah dalam parti, Cikgu Rafee (Mohd Rafee Ibrahim) adalah ketua cabang yang paling saya rapat dan saya selalu datang ke cabang ini untuk buat program bersama kawan-kawan. Jadi, mestilah ada keresahan itu dan ia perkara biasa yang mana Alhamdulillah perhubungan itu tidak terjejas pun,” katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program walkabout di Pusat Perniagaan Bukit Baru, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR yang juga calon Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Mengulas lanjut ujarnya, semua pihak mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza-beza dan pengumuman dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam merupakan satu penghormatan buatnya.
ANDA MAHU MENGENALI SEMUA CALON-CALON PKR? KLIK SINI
“Ini bukan satu kawasan yang mudah dan untuk kali pertama masuk ke dalam pilihan raya dan diminta untuk mempertahankan kerusi berkenaan, tentu ada satu keputusan yang baik bagi parti.
“Saya anggap ini satu penghormatan yang sangat besar sebab saya tahu kawasan ini macam mana yang mana saya tahu apa sejarahnya (di sini), saya fikir ini adalah satu permulaan yang baik (dan) tentunya semua orang ada pandangan masing-masing,” tambahnya.
Nama Adam Adli baru-baru ini disebut-sebut akan dicalonkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang sebelum pengumuman rasmi dibuat PKR malam tadi mencalonkan beliau di Parlimen Hang Tuah Jaya.
Namun, timbul laporan yang mendakwa pencalonannya di Parlimen itu bagi menggantikan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dikatakan tidak mendapat sokongan akar umbi PKR di Melaka dan cabang Hang Tuah Jaya susulan mereka menolak calon ‘payung terjun’.
Kerusi yang dahulunya pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) berjaya dimenangi oleh Shamsul Iskandar sejak dua penggal lalu termasuk menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada PRU14 lalu dengan majoriti 8,640 undi.