KOTA KINABALU: Bukan hanya 'Sabah For Sabahan', tetapi mahu mengangkat suara rakyat Sabah sehingga ke peringkat nasional.

Prinsip itu dipegang oleh calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Parlimen Papar, Nicholas Sylveste @ Berry, yang berpandangan persepsi bahawa Sabah untuk rakyat Sabah perlu ditukar kepada 'Malaysia For Sabahan'.

"Kita pergi ke Parlimen untuk kita mengemukakan wakil rakyat dan pemimpin yang layak untuk bersama dengan negeri-negeri Semenanjung dan Sarawak untuk jadi pemimpin Malaysia.

"Bukan hanya jaguh kampung di Sabah tetapi berpolitik di peringkat Malaysia dan menjadi pemimpin Malaysia," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pejabat Pejuang, di sini, pada Khamis.

BACA: PRU15: Cabaran Ahmad Hassan pertahan kerusi Parlimen Papar

Nicholas yang juga Ketua Pejuang Negeri Sabah menambah, hak-hak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan melalui work within the system (mendapatkan apa yang dimahukan walaupun peraturan yang menyukarkannya).

.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara lain yang akan turut dibawa di Papar ialah pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, rangkaian telefon bimbit serta jaringan internet yang merupakan satu keperluan kepada penduduk pada masa ini.

"Ini kita kena ambil serius, kena pastikan infrastruktur itu dibangunkan dari segi elektrik dan air pun tidak ada.

"Sesetengah itu banyak rumah bukan sedikit rumah (tiada air), dan jadi ini pada kita sangat penting dan kerajaan perlu memandang berat kepada persoalan ini.

"Kemudian dari segi banjir. Banjir ini bukan satu benda yang kita tak boleh urus. Kita boleh rancang dengan baik, sistematik dan holistik misalnya perparitan," katanya lagi.

BACA: PRU15: GTA Sabah sokong Tun M, Mukhriz sebagai calon Perdana Menteri

Dalam pada itu, Nicholas berkata, aspek kebajikan penduduk juga tidak wajar dipandang sepi, dan usaha memajukan ekonomi di Papar perlu dipergiatkan lagi.

Zon ekonomi, ujarnya, boleh diwujudkan dengan mengambil manfaat daripada potensi-potensi yang ada di Papar termasuk penanaman padi, perikanan, serta industri kecil dan sederhana (IKS) seperti pembuatan belacan.

"Kemudian orang muda, dan memang potensi yang sangat besar di Papar. Saya berjumpa dengan anak-anak muda yang saya lihat alangkah ruginya jika mereka tidak diberikan peluang untuk mengeksploitasi potensi mereka.

"Selain itu, kena lihat sistem secara menyeluruh dari segi pembangunan dalam bidang pendidikan untuk orang muda dan orang yang mahu meningkatkan diri mereka," kata Nicholas lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Papar menyaksikan saingan enam penjuru.

Selain Nicholas, turut bertanding ialah penyandang kerusi berkenaan, Ahmad Hassan (Parti Warisan); Datuk Armizan Mohd (Gabungan Rakyat Sabah); Henry Shim (Pakatan Harapan); serta dua calon Bebas masing-masing Johnny Sitamin dan Norbert Chin.