Menurut beliau, ini adalah kerana BN telah menerajui kepimpinan negara ini sejak mencapai kemerdekaan, namun, hal-hal yang disebutkan dalam aku janji itu termasuk pemberian pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak B40, tidak pun dilaksanakan selama ini.
“Saya fikir mereka ada peluang untuk melakukan perkara-perkara seperti itu daripada sejak merdeka lagi, tetapi telah gagal melakukannya.
“Benar, saya fikir kita mempunyai pelbagai kekangan dalam keadaan negara nak mencapai kemajuan dan perlu memikirkan tentang perkara lain.
“Akan tetapi, akhirnya mereka memikirkan bahawa pendidikan itu adalah perkara yang penting dan perlu kita dititikberatkan. Kami di Perikatan Nasional sejak awal lagi memang meletakkan agenda pendidikan, keselamatan, kesihatan rakyat sebagai agenda utama kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi jelajah mesra dalam siri kempen PRU15 Parlimen Tambun di Taman Perpaduan, dekat sini, pada Khamis.
Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas tawaran PRU15 oleh BN menerusi manifesto, Pelan Amal dan Usaha (PADU) seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Antara yang diumumkan BN ialah tawaran pemberian pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40 selain sistem pengajian anjal di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga calon PN Parlimen Tambun ini berkata, tawaran-tawaran yang telah digariskan partinya menerusi ‘PN BEST’ disifatkan sebagai sebuah manifesto yang mampu direalisasikan sekiranya gabungan itu menang PRU15.
Katanya, manifesto yang dirangka itu turut mengambil kira pelbagai golongan termasuk dalam soal pendidikan, pembangunan anak muda serta merancakkan industri-industri perniagaan kecil.
“Antara perkara yang mendapat perhatian ramai adalah selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) mengumumkan tawaran cuti umum sekiranya PN menang PRU15.
“Kita lihat kali ini ramai golongan muda yang akan balik ke kampung pada 19 November nanti (untuk mengundi). Dan Tan Sri Muhyiddin katakan kalau kita berjaya tubuh kerajaan, kita akan berikan cuti umum pada Isnin dan Ahad.
“Ini akan memudahkan mereka dan ada ruang (hari) untuk pulang semula ke kampus atau ke tempat kerja selepas selesai mengundi nanti,” katanya lagi.
Pada Ahad, di bawah PN BEST, Muhyiddin mengumumkan tawaran pengisytiharan cuti umum pada 20 November (Ahad) bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan 21 November (Isnin) bagi negeri lain sekiranya menang PRU15.
Selain cuti umum, Muhyiddin turut menyenaraikan tawaran-tawaran lain antaranya bantuan awal pengajian sebanyak RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar di IPT serta peranti digital bagi siswa dari keluarga B40 dan M40 yang layak.