Jelas Ketua Pimpinan Bersatu Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, tindakan Ronald menggunakan logo PN di Parlimen Beluran di luar daripada bidang kuasa beliau.
"Kita tidak boleh menghalang sesiapa daripada bertanding. Di Beluran Datuk Ronald Kiandee gunakan simbol Perikatan Nasional," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Manifesto GRS di Kota Kinabalu.
Mengulas mengenai komen Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap keputusan GRS menyerahkan kerusi Beluran kepada BN, Hajiji berkata ia hanya pendapat Muhyiddin semata-mata sambil menjelaskan keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira dinamika politik di negeri itu yang memerlukan penyesuaian.
"Itu pandangan Tan Sri Muhyiddin. Di Sabah ini keadaan politik kita agak berlainan sedikit, ada keunikan dia. Jadi kita olahkan politik kita cara Sabah", ujar Hajiji.
Terdahulu, Ronald bertindak bertanding atas tiket PN selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon GRS di Parlimen Beluran pada PRU15.
Malah, kerusi tersebut turut diserahkan kepada BN dengan menamakan Benedict Asmat sebagai calon mewakili GRS-BN.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pihaknya akan turut menyemak latar belakang calon Bebas yang bertanding di Parlimen Tenom yang didakwa sebagai ahli Bersatu dan akan mengambil tindakan sekiranya ia benar.
"Jika benarlah di Tenom itu ahli Bersatu maka kita akan ambil tindakan sewajarnya. Itu kita tidak benarkan," jelas beliau.