Azwan bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak.
Selain Azmin, Azwan juga bakal menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Datuk Megat Zulkarnain Omardin di kerusi Parlimen tersebut, manakala Gerakan Tanah Air (GTA) pula meletakkan Aziz Jamaludin Mhd Tahir.
Azwan, 56, berkata, beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, esok.
"Iya, anda akan menerima jawapannya esok, iaitu pada hari penamaan calon.
"Saya akan berada di SMK Sungai Pusu. Jadi, orang ramai boleh ikut lintas langsung yang saya buat melalui TikTok dan Instagram (IG) untuk mendapatkan jawapan," katanya seperti dilaporkan BH Online.
Parlimen Gombak disandang Azmin iaitu bekas Timbalan Presiden PKR yang meninggalkan parti itu pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh.
Mengulas lanjut, Azwan mengakui gementar untuk menempuh hari penamaan calon pada Sabtu nanti.
"Saya gementar kerana kali terakhir saya nampak kelibat Azmin adalah pada PRU14. Selepas sekian lama, esok pastinya saya akan sekali lagi bertembung dengan Azmin.
"Inilah masa dinanti-nantikan ribuan rakyat dan penyokong. Ramai yang mahu melihat momen ini," katanya.
Azwan mendakwa membuat keputusan untuk bertanding pada PRU15 selepas mendapat sokongan banyak pihak.