MELAKA: Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang Senator Datuk Lim Ban Hong akan memberi 10 tumpuan dalam manifestonya untuk pengundi di kawasan berkenaan.

Antaranya menaik taraf sistem pengairan di kawasan sawah padi dan tanaman pertanian, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Melaka dan Naib Presiden MCA berkata tumpuan menaik taraf sistem pengairan berkenaan kerana DUN Klebang memiliki kawasan sawah padi dan tanaman pertanian yang luas antaranya di Bukit Rambai, Klebang Kecil dan Kampung Pinang.

Katanya sistem pengairan yang baik penting bagi memastikan tanaman yang diusahakan petani dan pekebun dapat memberikan hasil yang tinggi kerana ia merupakan punca pendapatan selain memastikan pengeluaran bekalan padi dan sayur-sayuran untuk Melaka dan negara dapat ditingkatkan.

"Manifesto ini khas untuk pengundi DUN Klebang dan ini komitmen saya untuk menaik taraf sistem pengairan di kawasan sawah padi dan tanaman kerana ketika saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang sebelum ini, saya telah memulakan usaha menaik taraf sistem berkenaan di DUN ini.

"Pada fasa pertama sebelum ini, dua rumah pam air dan saluran air telah dibina untuk membekalkan air yang mencukupi ke kawasan sawah padi dan tanaman di DUN ini, jadi kita akan teruskan usaha ini jika saya diberikan peluang pada PRN Melaka," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Lim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata manifestonya itu termasuk menambah baik kemudahan serta infrastruktur jeti nelayan di Klebang Besar dan Lereh bagi membantu nelayan turun ke laut dengan selamat dan selesa serta dapat meningkatkan produktiviti tangkapan ikan.

Selain itu, beliau berjanji akan memberi fokus untuk menaik taraf fasiliti klinik kesihatan kerana setakat ini penduduk di DUN Klebang dirujuk ke Klinik Kesihatan Klebang Besar dan Bukit Rambai untuk mendapatkan rawatan serta nasihat kesihatan di kedua-dua klinik tersebut.

Pembinaan projek rumah mampu milik dan perumahan rakyat akan ditambah kerana semua rakyat mempunyai impian memiliki rumah sendiri terutama mereka yang belum mempunyai hartanah, katanya.

Beliau berkata fokusnya juga untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi keselesaan dan kesejahteraan rakyat; menambah kemampanan dan kelestarian alam sekitar, menambah baik tempat rekreasi di Pantai Klebang; membantu pembangunan perniagaan mikro, kecil dan sederhana tempatan.

Peluang perniagaan dan pekerjaan untuk anak tempatan terutama golongan muda; keutamaan pembangunan pendidikan dan modal insan; memelihara keharmonian sosial, agama serta kemasyarakatan yang sedia terjalin dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di DUN itu turut diberi tumpuan.

Lim sebelum ini pernah menjadi menjadi ADUN Klebang selepas mendapat majoriti sebanyak 9,171 undi, mengalahkan calon DAP Liou Chen Kuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 namun tewas kepada calon PKR Datuk Gue Teck yang memperoleh majoriti sebanyak 789 undi pada PRU Ke-14.

DUN Klebang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lim, Bakri Jamaluddin (Perikatan Nasional) dan Gue Teck (PKR) pada PRN Melaka pada 20 Nov ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

-- BERNAMA