Demikian menurut calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy yang mendakwa, perkara itu dibangkitkan setiap tahun tetapi tidak menerima reaksi positif daripada pihak kerajaan.
Bercakap mengenai jalan raya di Mersing, beliau mengakui, keadaan laluan tersebut sememangnya teruk.
“Memang laluan di situ tak rata, tetapi sebagai ADUN (ketika itu) kita ada kekangan di peringkat tertentu. Kita dah bawa ke peringkat negeri, kemudian di peringkat pusat, bergantung untuk luluskan atau tidak.
“Kita memang bangkitkan isu ini setiap tahun, kita mohon untuk dapatkan laluan penghubung yang lebih baik dari Johor Bahru ke Mersing.
“Setiap tahun kita ‘fight’ (perjuangkan) di peringkat pusat untuk dapatkan dana tetapi banyak kali tewas,” katanya.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Pada masa sama, Raven berpendapat, kerajaan mungkin mempunyai keutamaan lain dari segi dana menyebabkan situasi jalan raya di Mersing tergendala lama.
Bagaimanapun, ujarnya, tidak semua laluan jalan raya di Mersing terabai.
Sebaliknya, tambahnya, kerja baik pulih telah dilaksanakan tetapi hanya melibatkan kawasan di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
BACA: PRN Johor: Jalan di Mersing 'buat kepala jadi pusing'
Astro AWANI pada Ahad mendedahkan keluhan penduduk di Mersing berhubung isu jalan raya di Mersing yang tiada kesudahan sejak sekian lama.
Bahkan, beberapa laluan juga sering kali menjadi lokasi utama yang meragut nyawa beberapa pengguna akibat struktur jalan yang tidak bersesuaian selain tidak mempunyai lampu jalan.