Bersandarkan pada potensi itu, kedua-dua calon bertanding pada PRK terbabit baik Pakatan Harapan (PH), mahupun Perikatan Nasional (PN) masing-masing dilihat giat mendekati masyarakat India dengan pelbagai program turun padang demi memancing undi kaum itu.
Pengarah Pilihan Raya Perpaduan Rafizi Ramli berkata jumlah pengundi India di DUN Sungai Bakap sebenarnya sangat besar jika dilihat dari sudut bilangan DUN yang ada di Malaysia kerana apabila satu golongan pengundi melepasi 10 peratus daripada jumlah keseluruhan, maka ia dikira "kerusi besar" bagi kelompok masyarakat berkenaan.
"Seingat saya, tidak lebih 10 kerusi DUN di Malaysia ini yang pengundi India melebihi 15 peratus dan dengan kira-kira 17 peratus itu, sebenarnya (bilangan) pengundi India di Sungai Bakap adalah sangat besar dan tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Melihat kepada rentak kempen, Timbalan Presiden PKR itu berpuas hati dan menyifatkan sokongan kaum India Sungai Bakap kepada calon PH Dr Joohari Ariffin juga kuat berikutan tiada masalah mahupun sentimen seperti yang dimainkan oleh segelintir pihak pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor untuk memboikot dan tidak keluar mengundi.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata situasi itu bagaimanapun mempunyai risiko kerana apabila sokongan sesuatu golongan pengundi itu kuat berkemungkinan untuk mereka berasa selesa, sekali gus tidak keluar mengundi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata sokongan pengundi kaum India terhadap Kerajaan Perpaduan tidak luntur dan berada pada tahap 100 peratus khususnya di DUN Sungai Bakap, justeru berharap ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada 6 Julai ini.
"Kalau kita lihat dari luar ia (sokongan kaum India) macam perlahan, tetapi apabila berada di Sungai Bakap, sokongan itu memang kuat. Namun, kita kena bekerja kuat kerana sebahagian besar pengundi India di sini tinggal di luar kawasan Sungai Bakap.
"Jadi, mereka harus balik untuk mengundi dan sehubungan dengan itu, jentera Perpaduan mempunyai beberapa kaedah seperti menyediakan pengangkutan dan getting out the vote (GOTV)," katanya.
Ramanan berkata masyarakat India juga sudah mula sedar dengan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada golongan minoriti itu seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Skim Pembiayaan Bank Rakyat India Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN).
Turut senada Naib Presiden PKR yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy yang menyifatkan tahap penerimaan masyarakat India terhadap calon yang diketengahkan PH amat menggalakkan berikutan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
"Sokongan masyarakat India kekal seperti sebelum ini walaupun mereka mempunyai kerisauan atau isu yang boleh dijelaskan. Isu yang dihadapi mereka bukan masalah tempatan, tetapi berkaitan bantuan kebajikan kerana ramai antara mereka tidak daftar dalam sistem eKasih (Bank Data Kemiskinan Nasional)," katanya.
Menafikan sokongan komuniti India beralih kepada PN, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) P. Prabakaran berkata sokongan pengundi India terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan lebih baik.
Katanya, kemenangan dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lepas membuktikan kaum itu masih memihak kepada kerajaan.
Ahli Parlimen Batu itu juga berkata pihaknya berusaha untuk menyampaikan inisiatif yang dilakukan MITRA kepada rakyat India termasuk Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta Tahun 2024/2025 dan Program Bantuan Subsidi Dialisis yang dibuka bagi permohonan pada 24 Jun lepas.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri 2023, pengundi India merangkumi 17.39 peratus daripada 38,409 pemilih keseluruhan di DUN Sungai Bakap dengan 59.36 peratus pengundi Melayu, 22.54 peratus (Cina) dan 0.71 peratus lain-lain.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon PN Abidin Ismail.
-- BERNAMA