HULU SELANGOR: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dilihat mempunyai sedikit kelebihan berbanding calon lain, menjelang hari pengundian esok yang dijangka mencatatkan peratusan keluar mengundi kira-kira 70 peratus.

Kajian Ilham Centre mendapati, rekod pencapaian DAP mengikut setiap pusat daerah mengundi (DPM) yang agak konsisten sejak menang Pilihan Raya Umum ke-13, membawa ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023, menjadikan parti penyandang itu ada sedikit kelebihan.

Ditambah pula berada dalam dua kerajaan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan, menambah ‘beban’ kepada lawan untuk menafikan kemenangan PH-DAP.

Mengenai corak kempen Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Khairul Azhari Saut, Ilham Center berkata, isu  kaum dan agama agak tepu dan sudah sampai ke siling, di tambah dengan faktor kawasan bercampur seumpama Kuala Kubu Baharu yang menjadikan kempen jalur keras tidak efektif dan sesuai.

“Pengundi Melayu Selangor berbeza dengan pengundi di jajaran majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu atau Kelantan. Kurang cermat dengan asakan naratif perkauman dan agama, dengan harapan pengundi Melayu kekal, tetapi dalam masa yang sama pengundi bukan Melayu makin menjauh,” menurut kajian itu lagi.

Ilham Centre berkata, kempen PN lebih terarah di PDM majoriti Melayu seperti Bandar Utama Batang Kali (74%), Ampang Pechah (69%), Kampung Air Jernih dan Kerling (54%).

Bagi PH, kelebihan terletak di PDM majoriti Cina iaitu Kampung Baharu Rasa (93%), Kampung Baharu Batang Kali (86%), Kampung Baharu Cina KKB (77%), Hulu Yam Lama (70%), Kampung Baharu Kerling (67%) dan Pekan Rasa (64%) menjadi deposit meyakinkan buat parti PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

Bagi PDM India hanya dua iaitu di Ladang Nigel Gardner (63%) dan Lembah Beringin (53%), dan PDM majoriti Orang Asal hanya tertumpu di Pertak (89%).

Ilham Centre berkata, pengundi Melayu secara majoritinya mempamer sokongan kepada PN walaupun dalam masa sama mereka memberi kredit tinggi terhadap prestasi kerajaan Selangor (74 peratus tahap kepuasan), prestasi Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor (70.8 peratus tahap kepuasan), serta prestasi mendiang ADUN Kuala Kubu Baharu daripada DAP sebelum ini (63 peratus tahap kepuasan).

Sokongan kepada PN, menurut kajian itu lagi, majoritinya kerana sentimen ‘ethnoreligious’, dengan dakwaan PN lebih beridentitikan Melayu-Islam, dan hanya segelintir pengundi Melayu yang mempamerkan sokongan kepada PH.

“Mereka berbeza pandangan dengan kelompok majoriti kerana mendakwa realiti politik negara perlu rentas etnik dan berkongsi kuasa mengikut demografi masyarakat majmuk Malaysia.

"Mereka juga berhujah sejak sekian lama wakil rakyat Parlimen Hulu Selangor dan DUN-DUN dalam kawasan parlimen tersebut adalah daripada pelbagai bangsa, isu tersebut tidak pernah berbangkit sebelum ini,” menurut kajian itu lagi.

Bagi pengundi etnik Cina, Ilham Center berkata, majoriti mempamerkan kecenderungan untuk memberi undi kepada PH, walaupun pertimbangan mereka dibayangi beberapa isu yang menunjukkan tidak berpuas hati terhadap Kerajaan Perpaduan seperti polisi cukai, pelarasan subsidi, harga barang dan sebagainya.

“Ketidakpuasan hati mereka kepada PH tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan beralih sokongan kepada PN. Ini disebabkan faktor penolakan daripada PN tersebut lebih besar berbanding faktor tidak selesa dengan PH dan Kerajaan Perpaduan.

"Mereka mendakwa pendekatan PN keras dan tidak lunak kepada komuniti Cina, banyak is menyebabkan mereka menjarakkan diri daripada PN antaranya singgungan PAS terhadap sekolah vernakular,” menurut kajian itu lagi.

Menyentuh mengenai pengundi India, Ilham Center berkata, dengan keadaan majoriti etnik Melayu tersudut kepada PN, dan majoriti etnik Cina di pihak PH, maka golongan tersebut boleh diletakkan sebagai penentu atau ‘king maker’.

“Minggu pertama diasak, pengundi India seakan terkesan. Dalam kajian lapangan dan pemerhatian  di PDM majoriti India, minggu kedua menyaksikan perubahan selepas pihak Kerajaan Perpaduan melakukan tawaran balas kepada penduduk di sini.

“Pengumuman Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan isu perumahan yang melibatkan nasib 1,250 ahli keluarga bekas pekerja di lima buah ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner, dan Ladang Minyak baru-baru ini dilihat menjadi ‘turning point’ malah  meredakan keadaan,” menurut kajian itu lagi.

Ilham Center berkata, penduduk yang ditawarkan penyelesaian ini nampaknya masih meletak kepercayaan kepada Kerajaan sekali gus membayangkan ke mana arah undi mereka pada Sabtu ini.

Manakala bagi pengundi Orang Asal, firma penyelidik itu berkata, jentera Barisan Nasional (BN) masih efektif dalam mendekati segmen pengundi tersebut.

“Walaupun  wujud  ketinggalan dari segi infrastruktur di kawasan perkampungan Orang Asal, tetapi  kesetiaan kepada Kerajaan tambahan kesukaran pihak lawan menembusi kumpulan ini memberikan sedikit kelebihan buat calon PH,” kata Ilham Center lagi.