SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George percaya peluangnya untuk disenaraikan sebagai calon mempertahankan kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti amat cerah.

Gunaraj yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja berkata, peluang untuk beliau dicalonkan semula di DUN yang majoritinya terdiri daripada kaum India itu lebih terbuka luas selepas komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC bersetuju untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.

"Saya menghormati keputusan MIC dan MCA tidak bertanding dalam proses demokrasi kali ini.

"Sememangnya di bawah Kerajaan Perpaduan dan atas prinsip menjayakan konsep MADANI, saya berpandangan amat wajar semua parti hormat-menghormati dan mengetepikan apa sahaja rasa tidak puas hati, sebaliknya sama-sama menyokong memastikan kemenangan besar boleh dicapai di DUN Sentosa ini,'' kata beliau kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Ditanya mengenai peluangnya untuk dicalonkan semula di DUN itu, katanya, peratusannya hampir 100 peratus apabila MIC memutuskan untuk tidak bertanding, di bawah semangat Kerajaan Perpaduan.

"Saya percaya akan dicalonkan semula (untuk bertanding pada 12 Ogos). Saya bertanding atas tiket PKR menang besar sebelum ini.

"Kita memang menunggu pengumuman daripada pimpinan dan saya telah menawarkan diri untuk bertanding di DUN Sentosa, tetapi terserah kepada pimpinan PKR untuk tentukan.

"Kita tunggu hari penamaan 29 Julai ini,'' kata Gunaraj.

Gunaraj berkata, gerak kerja jentera di setiap cabang bagi menghadapi PRN sudah bermula sejak PRU15, iaitu kira-kira enam bulan lalu, dan boleh dijadikan sebagai latihan yang baik dalam mempertahankan Selangor di tangan PH. - Foto Astro AWANI

Beliau sebelum ini mengakui tidak akan menolak untuk terus bertanding seandainya diminta pucuk pimpinan parti berkenaan untuk berbuat demikian.

Apatah lagi apabila Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, penyandang kerusi DUN di Selangor akan kekal bertanding dalam PRN bulan depan.

Kerusi DUN Sentosa, yang dari segi demografinya mempunyai 70 peratus pengundi India, sebelum ini turut diintai MIC untuk ditandingi pada PRN di enam negeri, termasuk di Selangor.

Namun, pada minggu lepas, MIC melalui Setiausaha Agungnya RT Rajasekaran mengumumkan pendirian parti komponen BN itu untuk tidak bertanding kali ini.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat pada 30 Jun lalu selepas mengambil kira pandangan semua ahli serta meneliti keadaan politik semasa.

Malah, keputusan yang disifatkan 'bukan boikot' oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu, dilihat akan membolehkan MIC memberi lebih perhatian kepada proses membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi PRU16.

Gunaraj menawarkan diri untuk bertanding sekali lagi di DUN Sentosa, Selangor pada PRN yang akan berlangsung serentak di enam negeri, 12 Ogos ini. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, Gunaraj berkata, gerak kerja jentera di setiap cabang bagi menghadapi pilihan raya sudah bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu kira-kira enam bulan lalu dan boleh dijadikan sebagai latihan yang baik dalam mempertahankan Selangor berdasarkan pengalaman sebelum ini.

"Setiap cabang terutama pemimpin India daripada PKR kini dalam 'mood' bersedia membantu jentera cabang, negeri, sekali gus bagi mengekalkan Selangor di bawah PH," katanya pada Majlis Santai Minum Petang Bersama Media di ICT, di sini, baru-baru ini.

Pada PRU14, Gunaraj bertanding di DUN Sentosa N. 48 dan menang dengan majoriti besar iaitu 33,600 undi. Beliau turut menewaskan Ahli Majlis Tertinggi CWC Datuk T Subramaniam, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Jika dicalonkan semula, ini akan menjadi kali ketiga buat Gunaraj untuk mempertahankan kerusi DUN di bawah Parlimen Kota Raja itu.

Selain Sentosa, yang dahulunya dikenali sebagai Kota Alam Shah, dua lagi DUN di bawah Parlimen Kota Raja ialah Sungai Kandis (dahulu adalah Sri Muda) dan Kota Kemuning.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau yakin PH mampu mempertahan tiga kerusi DUN di bawah Parlimen berkenaan.

Di DUN Sungai Kandis, bekas ADUN kawasan itu ialah Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PH-PKR) sementara Kota Kemuning, V Ganabatirau (PH-DAP).

Gunaraj bersama beberapa pengamal media semasa Majlis Santai Minum Petang Bersama Media di ICT, Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Astro AWANI

Tengku Zafrul berkata, UMNO bersedia membantu jentera Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan ketiga-tiga kerusi tersebut.

"Saya optimistik jika kerjasama ini diteruskan, insya-Allah ketiga-tiga kerusi DUN ini dapat dipertahankan. Yang penting Kerajaan Perpaduan, menang," katanya semasa berucap di Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas, Klang baru-baru ini.

Jelajah itu sebagai persediaan menghadapi PRN Selangor selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan DUN pada 23 Jun lalu.

Daripada 53 kerusi DUN di Selangor, 45 dikuasai PH dan BN manakala selebihnya pembangkang termasuk wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.