BENTONG: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu.

Begitu pun, Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Menerusi saingan tiga penjuru, Amizar memperolehi 7,324 undi.

Sementara dua lagi pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya memperoleh 47 undi, sekali gus hilang deposit.

KEPUTUSAN TIDAK RASMI DAN RASMI DI SINI 



Keputusan rasmi PRK DUN Pelangai diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini malam ini.

Dalam pada itu, Mohammad Shahid memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah 72.12 peratus.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari meninggal dunia kerana terlibat dalam nahas pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) serta calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).

Seramai 16,383 pengundi terlibat dalam pengundian hari ini, manakala 36 adalah anggota polis dan tiga lagi pengundi Tidak Hadir Luar Negara.