Mengulas kehadiran pemimpin pembangkang dalam Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) pada saat-saat akhir kempen malam esok, Amizar secara berseloroh berkata kehadiran pengunjung luar menguntungkan masyarakat di sini.
"Sesiapa pun yang nak datang, silakan. Sekurang-kurangnya ekonomi Pelangai akan naik, masyarakat di sini dapat jana pendapatan, Alhamdulillah. Cuma janganlah datang buat fitnah dan memburuk-burukkan orang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Felda Sungai Kemahal di sini hari ini.
Antara pemimpin PN yang dijadual hadir menyampaikan ceramah esok adalah Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Amizar turut mengingatkan pengundi luar untuk pulang mengundi dan membuat pilihan yang terbaik bagi DUN Pelangai serta keluarga mereka yang berada di sini.
"Yang penting, pengundi luar harus faham bahawa mereka selepas mengundi, yang tinggal adalah mak ayah dan kawan-kawan di sini. Siapa yang nak bantu kalau mereka ada masalah?" katanya.
PRK Pelangai pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Amizar, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.
-- BERNAMA