GUA MUSANG: Pengundi Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Nenggiri tanpa mengira parti digalakkan untuk turun beramai-ramai menunaikan tangggungjawab masing-masing pada hari mengundi esok.

Pengarah PRK itu bagi Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah berkata undian pengundi akan menentukan perubahan yang mereka mahukan.

"Keluarlah mengundi tidak kira calon mana yang ingin dipilih," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Perasu Berselawat di Felda Perasu yang turut dihadiri Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, malam tadi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional(PN).

Berpuas hati dengan kerjasama jentera BN sepanjang tempoh dua minggu kempen yang akan berakhir pukul 11.59 malam ini, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata menerusi pemantauan yang dilakukan, beliau mendapati gerak kerja jentera dirancang dan dilakukan dengan baik dan tersusun.

Katanya pihaknya tidak menghadapi masalah besar meskipun terpaksa membahagikan jentera parti kepada 20 kumpulan mengikut jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan DUN Nenggiri.

"Ini menandakan bahawa mereka telah melakukan pekerjaan dengan baik, malah ini memberikan harapan yang positif kepada parti. Berdasarkan taklimat yang diadakan, kita tidak menghadapi masalah besar dan sebarang isu yang timbul dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu, berkata jentera BN sebelum ini banyak memfokuskan isu rakyat secara nasional. Oleh itu, pada PRK kali ini, mereka lebih memberi perhatian kepada mencari penyelesaian terhadap masalah tempatan yang dihadapi rakyat di kawasan luar bandar.

"Kita menawarkan untuk berkhidmat bagi kawasan DUN, dan tentunya banyakisu isu rakyat tempatan timbul, jadi kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap soal ini," katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA