GUA MUSANG: Enam daripada 20 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan diadakan Sabtu ini, akan ditutup lebih awal.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bagi notis PRK itu, empat daripada pusat mengundi itu akan ditutup pada pukul 2 petang, iaitu Sekolah Kebangsaan Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, Sekolah Kebangsaan Sri Permai dan Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai.

Dua lagi pusat mengundi akan ditutup pada pukul 3 petang, iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan Sekolah Kebangsaan Pulat.

Baki 14 pusat mengundi akan beroperasi mengikut jadual dari 8 pagi sehingga 6 petang.

Sebelum ini turut dilaporkan, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada hari pengundian awal yang dijadualkan berlangsung esok. Ini kerana kesemua 14 pengundi terlibat memilih untuk mengundi secara pos, memandangkan mereka perlu bertugas sepanjang tempoh kempen.

PRK DUN Nenggiri melibatkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.

-- BERNAMA