HULU SELANGOR: Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya parti itu tidak turun padang membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata sebaliknya Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari adalah antara pemimpin yang paling kerap turun berkempen membantu calon itu di KKB.

"Dakwaan itu jauh daripada realiti, malah saya difahamkan (Amirudin) mengadakan Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri Selangor di KKB ini, (dan) saya pun ada di sini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur di sini hari ini.

Mengenai penglibatan beberapa pemimpin pembangkang di dalam siri kempen Pang yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata ia tindakan sukarela pihak berkenaan.

"Saya lihat contohnya ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari, beliau agak proaktif dan saya percaya dia menawarkan diri untuk terlibat, dua tiga malam sudah berkempen bersama PH dan Ahli Parlimen Tanjong Karang (Datuk Dr Zulkafperi Hanapi) pun ada (berkempen), jadi saya kira ini hak mereka," katanya.

Pada 6 Mac lepas, Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Bersatu Selangor mengisytiharkan menyokong kepimpinan Amirudin manakala Zulkafperi yang juga daripada Bersatu pula mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar pada Januari lepas.

Sementara itu Naib Ketua Wanita I Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri berkata kehadirannya ke KKB adalah bukti sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap calon yang dipertaruhkan Kerajaan Perpaduan bagi PRK berkenaan.

"GPS jarang bercakap politik tetapi dengan kehadiran kami menunjukkan sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan...Itu (dakwaan) biasalah dalam politik, kita tak perlu sensitif dan perlu bijak. Tak payah saya nak bergaduh dengan PN (Perikatan Nasional dalam hal ini)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan PN mempersoalkan ketidakhadiran pemimpin Kerajaan Perpaduan termasuk dari GPS bagi membantu kempen calon PH.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian PRK KKB.

-- BERNAMA