KUALA LUMPUR: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu membuktikan rakyat menolak politik perkauman yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri berkata, tindakan PN meletakkan calon Melayu di kawasan pengundi bukan Melayu yang tinggi membuktikan gabungan tersebut hanya berjuang untuk satu kaum.

Katanya, pengundi di KKB membuat keputusan bijak dengan menolak parti yang berjuang untuk satu kaum semata-mata.

“Saya orang Melayu dan saya dari parti Melayu tetapi kita tidak boleh menolak hakikat bahawa untuk memerintah di Malaysia perlukan kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum lain.

“Di Kuala Kubu Baharu, PN nampaknya menghantar isyarat yang salah kepada pengundi bukan Melayu dengan meletakkan calon Melayu yang memberi bayangan bahawa gabungan itu hanya berjuang untuk satu kaum.

“Kekalahan calon PN itu juga disebabkan pengundi Melayu turut menolak politik perkauman,” katanya.

Beliau juga berkata, pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu juga telah memilih untuk memastikan kestabilan dengan mengekalkan PH mewakili mereka.

“Saya ucap tahniah kepada PH terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemenangan di DUN Kuala Kubu Baharu.

“Rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat juga sudah muak dengan politik perkauman yang dibawa oleh PN.

“Mereka mahukqn kestabilan kerana dengan adanya kestabilan pelabur akan yakin untuk masuk ke Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Nadzir Helmi Azhar menyifatkan gabungan itu kalah bermaruah dalam PRK Kuala Kubu Bharu, Mohamed Nazri menyifatkan ianya retorik semata-mata.

Menurut beliau, jika benar PN menyifatkan ia sebagai kalah bermaruah kenapa masih lagi mahu mengemukakan petisyen untuk mempertikaikan kemenangan PH.

“Ini buktinya tidak ada maruah dan tidak boleh menerima kekalahan.

“Kalau bermaruah mereka terima kekalahan dengan berlapang dada dan buat post morterm kenapa kalah.

“Bila masih nak buat petisyen tandanya mereka sangat kecewa dengan kekalahan ini,” katanya.

PH menerusi calon mereka, Pang Sock Tao memenangi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan gabungan itu berjaya mempertahakan kerusi berkenaan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Sementara itu, pencabar utama Sock Tao daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Dua lagi calon iaitu Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing memperoleh 152 dan 188 undi.