Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, nama tiga calon lelaki anak tempatan itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti pada minggu ini.
Katanya pengumuman akan dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas selesai PRK Nenggiri.
"Hari ini PN Johor baru selesai masyuarat persiapan PRK DUN Mahkota, kami telah mengadakan beberapa kali siri mesyuarat, ini mesyuarat kali pertama selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh.
"Insya-Allah kami di PN bersama Pas, Gerakan dan Bersatu bagi memastikan kami dapat memenangi DUN Mahkota.
"Alhamdulillah calon sudah ada, kami telah serahkan nama calon ke pusat, apa keputusan pusat kami akan terima. Kami dari tiga parti dapat kerjasama sepakat memenangkan calon dari PN.
"Dulu calon (DUN Mahkota) dari Bersatu, setakat ini memang sepatutnya Bersatu, tetapi kami di Johor serahkan kepada pusat untuk tentukan. Yang penting dapat bersama.
"Setakat ini kita hantar tiga nama, tiga lelaki, ada di antara mereka pertama kali jadi calon dan ada yang pernah bertanding sebelum ini, tiga-tiga calon tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang di Taman Saujana di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai keyakinan PN dalam merebut kerusi DUN Mahkota, Sahruddin berkata, pihaknya yakin akan berlaku peralihan sokongan rakyat kepada PN berdasarkan sentimen isu semasa termasuk kenaikan harga barang dan diesel.
"Melihat keadaan sekarang dengan ekonomi yang tidak stabil, harga barang naik, harga diesel dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), insya-Allah ada 'swing' kepada PN.
"Jentera ramai, kita juga sudah siapkan bahagian angkat Pusat Daerah Mengundi (PDM),' katanya.
Semalam SPR dilaporkan menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan, ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin pada 2 Ogos lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.
Beliau menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.