Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

“GPS tidak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita akan terus kekal dengan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Alexander ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan akan terus kekal dengan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita tiada kaitan dengan apa yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim sebentar tadi,” jawabnya.

Ini pesan Alexander kepada Anwar: "Please grow up, you are old enough to know, don;t behave like a greenhorn politician ..."

Alexander yang juga merupakan Setiausaha Agung GPS turut berkata, adalah lebih baik untuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk berhenti bermain politik yang hanya akan mengelirukan rakyat serta mengakibatkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

BACA ARTIKEL BERIKUT:
Kerajaan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh - Anwar


'Saya persilakan dia untuk bekerjasama' - Anwar pelawa Muhyiddin sertai gabungan

Tun Mahathir, Pejuang tiada dalam majoriti - Anwar Ibrahim


Bukan kerajaan 'back door' - Anwar Ibrahim


“Ketika ini Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kita menetapkan pendirian bahawa GPS akan terus kekal bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional.


“Setakat ini Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin merupakan sebuah kerajaan yang stabil dan prihatin terhadap kebajikan rakyat terutama dalam mendepani COVID-19 serta terus fokus untuk memajukan dan membangunkan negara,” tambahnya.

Alexander berkata demikian sebagai respon kepada pengumuman Presiden PKR itu yang mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu sidang media khas di ibu negara pada Rabu.