CHERAS: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) mengesahkan tiada keretakan pada persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan dekat Jalan Cheras di sini.


Ringkasan AI
  • KKR dan SPE mengesahkan tiada keretakan di persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras, Kuala Lumpur.
  • Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau lokasi hari ini.
  • LLM arah pasang alat pengesan keretakan dan lakukan penilaian lanjut, sementara SPE berkomitmen pada keselamatan struktur lebuh raya.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu pengguna jalan raya tidak perlu bimbang kerana struktur pemasangan Lebuh Raya SPE adalah kukuh dan selamat.

“Saya berkesempatan naik ke atas menggunakan skylift bersama pihak SPE dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Tiada keretakan di lokasi seperti yang diadukan.

“Ia hanya kesan-kesan hitam di atas permukaan konkrit 'crosshead'. Kesan-kesan hitam ini telah dipastikan bukan retak seperti yang tular. Struktur telah dipastikan kukuh dan selamat untuk lebuh raya ini digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau lokasi yang 'didakwa retak' di Lebuhraya SPE berhampiran Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan LLM telah mengarahkan pihak perunding untuk memasang
alat pengesan keretakan dalam masa terdekat bagi mengesan sekiranya berlaku sebarang keretakan di lokasi itu.

Sementara itu, LLM akan mendapatkan laporan penilaian daripada pihak perunding sekiranya ada keperluan atau penelitian lanjut di lokasi aduan.

Dalam pada itu, SPE turut mengesahkan integriti struktur telah dipastikan kukuh dan selamat selepas siasatan dijalankan.

Turut hadir dalam lawatan siasatan adalah Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun; Pengarah Eksekutif EKOVEST Berhad, Lim Chen Tai; dan Pengarah Urusan Lebuhraya Duke Fasa 3 Sdn Bhd, Tan Sri Lim Keng Cheng.

Sementara itu, SPE menyatakan sentiasa komited dan meletakkan aspek keselamatan struktur lebuh raya sebagai keutamaan dengan sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala.

Pada Jumaat, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini.

SPE yang dibuka sepenuhnya pada 3 November lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat serta menghubungkan beberapa lebuh raya lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.