SINGAPURA: Kementerian Kerja Raya Malaysia akan menekankan penerapan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) untuk menangani isu di kawasan bandar yang sering dilanda banjir sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan bandar tahan bencana, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya Malaysia akan menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) untuk mengatasi masalah banjir di kawasan bandar.
  • Pembangunan bandar tahan bencana akan melibatkan pelaburan dalam infrastruktur, sistem amaran awal, dan penglibatan komuniti.
  • Pelbagai inisiatif dan dasar, termasuk Dasar Pembinaan Negara 2030, telah diperkenalkan untuk meningkatkan ketahanan bandar terhadap bencana.


Menteri berkenaan dalam ucapannya di pembukaan pleno Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS), berkata bahawa dalam hal ini, perancangan guna tanah dalam rancangan struktur negeri dan rancangan tempatan akan diselaraskan dengan PISMA ke arah memperbaiki sistem saliran di kawasan bandar untuk mengurangkan kejadian banjir besar.

"Bandar tahan bencana adalah aspek penting dalam pembangunan bandar, terutamanya di negara yang terdedah kepada bencana alam seperti Malaysia.

"Pelaburan dalam infrastruktur tahan bencana, sistem amaran awal termasuk penglibatan komuniti adalah kunci untuk membina keupayaan bandar untuk bertahan dan pulih daripada bencana," katanya.

Menteri berkenaan berkata kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan dasar untuk meningkatkan ketahanan di peringkat tempatan, termasuk Pelan Strategik Pengurangan Risiko Bencana yang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, merangkumi peningkatan infrastruktur kritikal untuk mengekang potensi bencana.

Nanta berkata di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya, Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) diperkenalkan sebagai dasar 10 tahun yang dirumuskan untuk mencerminkan komitmen penuh kementerian dalam memudahkan pemain sektor menjadi lebih tangkas dan kompetitif dalam membangunkan infrastruktur yang mampan.

Beliau berkata "Thrust Two NCP 2030", salah satu daripada empat strategi yang digariskan, menekankan pembangunan infrastruktur yang berkualiti, boleh dipercayai, mampan dan tahan bencana yang merupakan asas untuk mewujudkan bandar yang tahan bencana.

Nanta berada di Singapura untuk mengetuai delegasi Malaysia ke WCS dan Forum Infrastruktur Asia (AIF) 2024, yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin.

WCS yang dianjurkan secara dwitahunan adalah platform eksklusif bagi pemimpin kerajaan dan pakar industri untuk menangani cabaran bandar yang boleh didiami dan mampan, berkongsi penyelesaian bandar bersepadu dan menjalin perkongsian baharu.

Beliau juga dijadualkan bertemu dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee, hari ini.

-- BERNAMA