KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah membuat pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan yang didakwa retak.


Ringkasan AI
  • LLM dan SPE diarah periksa persimpangan bertingkat lebuh raya yang retak.
  • Menteri Kerja Raya memberi tumpuan kepada keselamatan pengguna jalan.
  • SPE dibuka di sekitar KL untuk kurangkan kesesakan trafik.


Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menerusi akaun X berkata keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.

"Saya amat memandang serius perkara ini," kata Nanta.

SPE dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi - Salak (Seksyen 1), Salak - Pandan (Seksyen 2), Pandan - Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa - Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

-- BERNAMA