Pakatan Harapan (PH) yakin dapat menawan Terengganu dan Kelantan daripada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berkata beliau yakin PH mempunyai peluang besar mengambil alih kedua-dua negeri pantai timur itu memandangkan kerajaan pusat kini diterajui PH.

"Saya dah beritahu sahabat-sahabat Pakatan (PH), Insya-Allah...kita ada peluang besar (untuk menang nanti).

"Sebab itu saya berjanji pada pimpinan lain yang saya akan bantu tumpu dapatkan kemenangan Pakatan Harapan di Terengganu pada pilihan raya depan," katanya semasa berucap pada majlis Keraian Eidul Fitri 2018 PKR Dewan Undangan Negeri Air Putih di sini, pada Jumaat.

Walaupun tewas di Terengganu, Rafizi menasihatkan para pemimpin PH negeri supaya terus membantu rakyat tanpa mengira parti apa yang mereka sokong pada PRU14.

-- BERNAMA