Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menerusi satu kenyataan hari ini berkata operasi itu susulan permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan ia akan dilakukan menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ahmad Zahid berkata penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta, juga telah beliau luluskan bagi menjayakan operasi pembenihan awan berkenaan.
"Operasi yang akan dilaksanakan selama tiga hari ini, diharap akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.
"OPA adalah tindakan awal yang dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024," katanya.
Ahmad Zahid berkata taburan hujan yang rendah dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini, telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh kawasan KADA.
Beliau berkata bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter, tetapi KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024.
"Usaha ini diharap dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan, sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering, khususnya di Kelantan.
"Saya juga berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan ini dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan," katanya.
Ahmad Zahid juga menyarankan NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil tersebut pada 23 Jun.
-- BERNAMA