Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd Sharim Md Zain, 41 tahun, yang mewakili BN, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 tahun, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pengumuman dibuat Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Zaliza Zulkifli pada jam 10.26 pagi.

Beliau mengesahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima semua kertas pencalonan oleh ketiga-tiga calon pagi ini.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan," katanya ketika mengumumkan nama-nama calon.

BACA: PRK Chini: Calon BN, dua calon bebas serah borang

Ahli perniagaan, Tengku Zainul Hisham, yang menggunakan simbol rumah menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan tepat pukul 9.02 pagi.

Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu.



Mengambil semangat Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, pencalonan Mohd Sharim disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang juga calon Pas yang tewas bertanding di kerusi itu kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri, yang juga seorang penulis blog, menggunakan simbol kunci dan mengemukakan borang pencalonan pada 9.05 pagi.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas akibat serangan jantung.

Abu Bakar merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (PAS) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd Sharim Md Zain, 41 tahun, yang mewakili BN, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 tahun dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan hari penamaan calon pada 20 Jun ini, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.