Penganjuran debat di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sepatutnya berlangsung pada 7 April ini telah dibatalkan.

Lapor penganjur Sinar Harian Online, ia susulan pembatalan permit kebenaran oleh pihak polis itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut memohon maaf di atas pembatalan itu.

“Saya memohon maaf kepada semua pembaca Sinar Harian, Dr Mahathir dan Mohamed Nazri.

“Alasan yang diberikan adalah bantahan penduduk dari sekitar kawasan tersebut dan setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam dengan ini kelulusan permit himpunan aman dibatalkan,” kata Hussamuddin dalam laporan itu.

Beliau dalam catatan Twitternya sebelum ini berkata kebenaran yang diberikan semalam oleh pihak polis telah dibatalkan menerusi sepucuk surat yang diterimanya hari ini.

“Pelik, Dialog Tun M vs Ds Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ni terima surat batal permit. Payah!!” katanya.

Menurut surat tersebut yang dialamatkan kepada Sinar Karangkraf Sdn Bhd, yang menjadi penganjur debat itu, pembatalan dibuat kerana mendapat bantahan penduduk sekitar kawasan tersebut.


Penganjur sebelum ini memaklumkan kepada polis pada 27 Mac lalu bahawa majlis itu akan diadakan di Dewan Sultan Muhammad Ke-5, Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Hussamuddin turut memuat naik surat kebenaran polis bertarikh 31 Mac di akaun media sosialnya pada Jumaat.


Menurut surat itu, polis mengenakan beberapa syarat dan sekatan demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Sementara itu ketika dihubungi Astro AWANI, pihak Ibu Pejabat Polis Shah Alam mengesahkan mengeluarkan surat berhubung pembatalan permit penganjuran debat tersebut susulan bantahan penduduk setempat.