KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan beliau bersedia untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam pelbagai isu termasuk isu mencetak wang dan BlackRock.


Ringkasan AI
  • Kesediaan berdebat: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengenai pelbagai isu termasuk cetak wang dan BlackRock, tetapi menegaskan debat harus dilakukan di platform neutral.
  • Penyelesaian isu MAHB: Fayhsal mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai jalan penyelesaian terbaik untuk isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan bersedia memberikan hujah balas di Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
  • Kritikan terhadap kerajaan: Fayhsal mengkritik kerajaan kerana tidak berminat mendengar idea pemimpin pembangkang, dan menegaskan bahawa penjualan saham MAHB merugikan rakyat Malaysia.


Begitupun, tegas Ahli Parlimen Machang itu, debat itu perlu dilakukan dalam platform yang neutral dan bukan di pod siar (podcast) termasuk yang di bawah kendalian Rafizi.

“Saya nak tegaskan sekali lagi kepada Menteri Ekonomi, saya bersedia berdebat dengan beliau dalam mana-mana platform yang bukan milik beliau.

“Saya tak nak pergi ke podcast terbakar beliau, saya bersedia berdebat tentang cetak wang, saya sedia berdebat isu MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) dan BlackRock ini.

“Sediakan platform neutral, tak perlu ke Bernama, Sinar Harian pun cukup kalau Sinar Harian sudi untuk sediakan platform neutral.

“Biar saya ‘bergomol’ dengan Rafizi dalam hal ini, saya tak takut untuk berdepan dengan beliau. Sediakan platform neutral dan mari berdebat. Tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Dalam sidang media sama beliau berkata Perikatan Nasional (PN) mempunyai jalan penyelesaian terbaik berhubung isu penjualan sebahagian saham MAHB.

Jelasnya, melalui analisis yang dibuat PN, beliau yakin ia dapat membantu meningkatkan pelaburan MAHB dan pendapatan negara melalui lapangan-lapangan terbang sedia ada.

“Saya dan rakan-rakan ahli Parlimen bersedia untuk bagi hujah balas dalam Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau pun dalam Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan hal ini.

“Kita dah buat analisis teknikal tentang penjualan saham ini, kita boleh beri counter proposal, counter argument kepada apa yang kerajaan Malaysia sedang buat.

“Juga kepada apa yang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sedang tawarkan, apa yang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang izinkan, apa yang perdana menteri biarkan sebenarnya merugikan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Soalnya sekarang, apakah kerajaan berminat untuk mendengar pembangkang membawa kritikan konstruktif kepada mereka?” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayshal berkata, dengan beliau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak berminat untuk mendengar idea pemimpin pembangkang.

Begitupun, beliau yakin rakan pimpinan pembangkang yang lain mampu menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku kepada MAHB merugikan rakyat Malaysia.